Loading...
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.(Surah Al Hadiid ,ayat 20)

Hafiz Ng Berdakwah Dgn Kereta 'Sports'

Saturday, February 27, 2010

Mohamad Hafiz Ng Abdullah bersama isteri Asmah Beng Abdullah dan dua anaknya Mohd Qayim Mohd Hafiz Ng,17, (kanan) dan Mohd Sina Mohd Hafiz Ng,16, gembira selepas menerima anugerah Tokoh Pendakwah dari Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dataran Perbandaran Taiping, Perak, hari ini. Mohamad Hafiz Ng adalah Mubaligh Islam dan Timbalan Pengerusi MACMA Ipoh, berdakwah melalui kaunseling, penulisan, ceramah dan pengendalian ICT dan turut berceramah ke perkampungan orang asli, saudara-saudara baru, anak-anak cacat, anak-anak yatim dan kelas di pusat-pusat pemulihan. -Foto BERNAMA

TAIPING: Bergelar pendakwah tidak menghalang Mohamad Hafiz Ng Abdullah untuk memandu kereta sports miliknya semasa menjalankan tugas berkongsi keindahan agama Islam dengan masyarakat.

Beliau yang menerima anugerah 'Tokoh Pendakwah' di Perak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini hari ini, berkata sebaliknya kereta sports itu berfungsi sebagai daya tarikan untuk mendekati orang ramai.

"Memandu kereta sports dengan memakai songkok dan berbaju Melayu memberi kelebihan kepada saya kerana ia menarik perhatian masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini.

Majlis dirasmikan Sultan Perak Sultan Azlan yang turut berkenan menyampaikan anugerah 'Tokoh Keluarga Mithali' kepada Jurij Sulaiman, yang membesarkan lima orang anak yang berjaya dalam pelbagai bidang, 'Tokoh Guru Sekolah Agama Rakyat' kepada Soed Ibrahim, 71, yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 30 tahun dan 'Tokoh Pegawai Masjid' kepada Abdul Rahim Abu Bakar,65, yang masih aktif sebagai imam dan mengajar kelas agama.

Mohamad Hafiz, 44, yang memeluk Islam pada 4 Disember 1986 dan mula menjalankan kegiatan berdakwah sejak 1992 juga menyifatkan strategi itu membawa mesej bahawa Islam bukanlah agama yang sempit dan hanya bertumpu kepada akhirat semata-mata.

"Saya juga senang bergaul dengan rakan-rakan dan sesiapa yang bukan Islam dengan cara begitu. Ia sekaligus memberi peluang dakwah kepada mereka mengenai Islam. Contohnya apabila mahu solat, saya ajak mereka menemankan saya ke masjid dan mereka ikut saya," katanya.

Mohamad Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim cawangan Ipoh berkata beliau memeluk agama Islam selepas mengkaji al-Quran selama dua tahun.

Selain memandu kereta sports yang telah diubahsuai, Mohamad Hafiz juga berdakwah menerusi kaunseling, penulisan, ceramah dan mengadakan kelas untuk Orang Asli, saudara baru, anak yatim serta agensi kerajaan.

Beliau dan isterinya Asmah Beng Abdullah, 43, kini sedang menghasilkan buku mengenai strategi untuk berdakwah kepada bukan Islam.

Dakwah bukan sekadar berceramah tetapi satu perjalanan hidup, katanya. - BERNAMA

sumber : Mstar Online

Bersama Institut al-Qayyim dan Dr Mohd Asri

Saturday, February 20, 2010
Hari Keluarga (20 Feb 2010)

ADAB MENUNTUT ILMU

Sunday, February 14, 2010
Antara Adab Menuntut Ilmu (Nasihat Syaikh Al-Albani)
بسم الله الرحمن الرحيم

ANTARA ADAB MENUNTUT ILMU: DUDUK BERHIMPUN &
TIDAK BERSELERAK
OLEH SYAIKH AL-ALBANI


Kata Syaikh selepas membacakan khutbah hajah :

Ternyata perlunya setiap masa memikirkan tentang sebahagian sunnah-sunnah dan adab-adab Islam yang tidak diketahui dan tidak diamalkan. Kami telah mengingatkan banyak kali di dalam majlis-majlis ini iaitu sesungguhnya majlis ilmu mempunyai adab-adab. Diantara adab-adab tersebut ialah tidak boleh (duduk) berteraburan di dalam majlis ilmu. (Adapun) kita duduk seperti ini sebagaimana yang sesuai atau disenangi oleh setiap seorang dari kita…ini bukanlah sekali-kali adab menuntut ilmu. Ini merupakan keadaan duduk di kedai kopi dan kelab-kelab. Seorang datang…yang mana dia tidak datang ke majlis tersebut melainkan untuk merehatkan jiwanya –menurut dakwaan mereka- atau berhibur atau kerana perkara yang lain. Dia bebas untuk duduk di mana saja dan bagaimana yang dia suka.

Adapun majlis ilmu, ia mempunyai adab. Saya telah menyebutkan kepada kamu banyak kali hadis Abi Sa’labah Al-Khusyari yang berkata : Apabila mereka bermusafir bersama Nabi dan singgah di satu tempat mereka berpecah di lembah-lembah dan celah-celah bukit. Pada suatu hari mereka bermusafir dan singgah di sebuah wadi lalu mereka berpecah sebagaimana yang biasa mereka lakukan dahulu. (Keadaan) berpecah ini menggambarkan kepentingan peribadi yang mana setiap orang daripada mereka memilih tempat yang sesuai untuk dirinya. Yang mempunyai teduhan contohnya. Mereka berpecah sebagaimana kebiasaan mereka. Apabila Nabi melihat (keadaan mereka yang bertaburan tersebut) maka Nabi berkata :

انما تفرقكم هذا من عمل الشيطان

“Sesungguhnya perpecahan kamu ini merupakan sebahagian daripada kerja syaitan”

Ertinya sesungguhnya berpecahnya kamu di lembah dan celah-celah bukit merupakan kerja syaitan. Kata Abu Sa’labah : ‘lalu kami selepas peristiwa tersebut apabila singgah di satu tempat, kami duduk berhimpun sehingga apabila kami duduk di atas sehelai hamparan nescaya ianya mencukupi’.

Majlis yang paling berhak untuk dijaga adab-adab ini-adab berkumpul- adalah majlis ilmu. Saya tidak mahu memanjangkan percakapan tentang menyatakan rahsia dan hikmah perkumpulan yang ditunjukkan oleh hadis ini. Namun begitu saya nyatakan secara umum…sesungguhnya yang zahir (lahiriyah) merupakan alamat bagi yang batin (dalaman). Pada setiap perkara yang mana umat Islam berpecah pada zahirnya maka pada perpecahan ini mengandungi kesan yang buruk terhadap batin mereka. Lahiriyah mempunyai hubungan yang amat kuat dengan dalaman. Kita mempunyai dalil yang amat banyak. Namun begitu mencukupi dengan petunjuk ringkas ini. Perpecahan tubuh badan tersebut membawa kepada perpecahan hati. Ini merupakan hakikat yang dijelaskan oleh syara’. Kita mempunyai dalil bagi perkara ini. Mencukupi sekarang dengan selingan ini.

Sumber: sahab.net

Penterjemah: Ustadz Abu Auzaie